Menulis dan menyampaikan sesuatu idea itu bukan mudah.
Kerana kita cuba merungkai sesuatu yang bersifat abstrak, iaitu pemikiran ataupun idea kita, ke dalam bentuk yang dapat dilihat, iaitu melalui penulisan.
Dan penulisan pula, hendaklah dibuat dalam bentuk yang dapat difahami oleh, (terutamanya) kumpulan sasaran kita.
Jika yang disasarkan ialah pelajar universiti, maka penulisan hendaklah bertaraf pemikiran universiti.
Namun seandainya dibuat untuk kanak-kanak tadika, maka penulisan seharusnya berbentuk mudah dan ringkas supaya senang difahami oleh pemikiran kanak-kanak itu.
Maka, untuk menjadi seorang penulis yang bagus, kita bukan sahaja perlu untuk mempunyai ilmu dan informasi yang berguna, malahan kita perlu mempunyai kemahiran untuk menyampaikannya dalam bentuk yang mudah dihadam oleh golongan sasaran.
Hal ini membawa kita kepada persoalan-persoalan seterusnya iaitu:
- Bagaimanakah cara untuk memahami golongan sasaran?
- Apakah informasi ataupun ilmu yang perlu disampaikan kepada masyarakat di luar sana?
- Apakah persediaan-persediaan yang perlu dilakukan oleh seorang penulis sebelum melangkah masuk ke dunia penulisan?
dan banyak lagi persoalan-persoalan lain.
Aku akan cuba rungkaikan persoalan-persoalan ini.
Kerana aku ingin menjadi seorang penulis yang punya wibawa. Yang menyampaikan sesuatu dengan penuh tertib adab dan akhlak. Kerana aku ingin berkongsi dengan dunia sesuatu yang mulia, yakni ilmu, yang pada asal tujuannya adalah untuk membawa manusia kenal dekat akan Sang Penciptanya...
Allahua'lam...